
Hudud: Brunei model terbaik sebagai ikutan
KUALA LUMPUR - Pelaksanaan hukum hudud oleh kerajaan Brunei Darussalam menerusi kod penal syariah diperkenalkan baru-baru ini wajar dijadikan contoh teladan kepada negara lain yang mempunyai majoriti penduduk beragama Islam.
Timbalan Ketua Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, berkata, perkembangan positif negara jiran itu menjadi cabaran kepada kerajaan Malaysia yang terus-menerus menghalang pelaksanaannya, khususnya di Kelantan.
“Tanggungjawab (laksanakan hudud) itu bukan terbeban kepada Pas, sebaliknya kerajaan memerintah yang perlu dipertanggungjawabkan untuk laksanakannya.
“Tugas Pas hanyalah menyeru kerajaan pusat laksanakan hukum hudud itu. BN patut respons kepada isyarat yang ditunjukkan Brunei, kerana rakyat sendiri sudah terima undang-undang Islam itu,” katanya, semalam.
Beliau mengulas tindakan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah kelmarin, yang mengumumkan penguatkuasaan hukum hudud di negara itu, termasuk melaksanakan hukuman potong tangan ke atas pencuri dan rejam terhadap kesalahan zina.
Nik Abduh menegaskan kerajaan pusat perlu mencontohi langkah Brunei itu dengan membenarkan pindaan perlembagaan dibuat agar hukum hudud boleh dilaksanakan di negara ini, bermula dengan Kelantan.
Di SEREMBAN, Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abd Ghani menyifatkan penguatkuasaan hudud di Brunei sebagai perkembangan positif dan kejayaan buat umat Islam di seluruh dunia.
“Jelas sekali, pucuk pimpinan mereka mempunyai kesungguhan untuk mendaulatkan hukum ALLAH. Baginda (Sultan Brunei) benar-benar meyakini bahawa undang-undang Islam berlandaskan syariah adalah yang terbaik untuk rakyat.
“Justeru, mana-mana negara yang berhasrat mempelajari selok-belok pelaksanaan hukum hudud seharusnya menjadikan Brunei sebagai model. Kalau boleh, hantar wakil ke sana untuk membuat kajian lebih mendalam,” katanya, semalam.
Tindakan Brunei itu juga, katanya, dapat menepis tanggapan negatif segelintir pihak terhadap undang-undang Islam.
“Masyarakat dunia, terutamanya Barat, berpeluang menyaksikan sendiri bagaimana hudud dipraktikkan secara realiti, sekali gus membuktikan segala gambaran tidak elok diberikan selama ini hanyalah bertujuan menakut-nakutkan orang bukan Islam,” katanya.

Posting Komentar